
5 Februari 2025 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pada hari ini.
Delegasi MAIDAM diketuai oleh YB Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM, disambut mesra oleh YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP. Kunjungan hormat ini turut disertai oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM bersama pegawai-pegawai MAIDAM yang lain.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk menimba pengalaman daripada MUIP dalam aspek penubuhan serta pengurusan anak-anak syarikat di bawah MUIP termasuklah bertukar pandangan mengenai pengurusan zakat dan wakaf di negeri Pahang.
Sesi kunjungan hormat ini dimulakan dengan lawatan kerja ke beberapa institusi penting di bawah MUIP seperti Pusat Kutipan Zakat Pahang, Pusat Dialisis MUIP Cenderawasih Kuantan dan Pasar Raya Darul Makmur Bukit Setongkol.
Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi MAIDAM untuk melihat sendiri pengurusan zakat dan wakaf yang dilaksanakan oleh MUIP serta meneroka kaedah terbaik yang boleh diterapkan di MAIDAM. Kunjungan diakhiri dengan sesi pembentangan oleh MUIP Holdings berhubung strategi dan kejayaan dalam pengurusan anak-anak syarikat di bawah MUIP.
Selain itu, sesi ramah mesra bersama MUIP di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan turut berlangsung bagi mengeratkan ukhuwah serta membincangkan potensi kerjasama pada masa hadapan.
Kunjungan hormat ini mencerminkan hubungan erat antara MAIDAM dan MUIP dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan institusi Islam, khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi umat Islam melalui zakat, wakaf dan perniagaan.