Zakat KWSP

• Zakat dikenakan apabila simpanan KWSP itu dikeluarkan dan hendaklah mencukupi nisab semasa dikeluarkan. Jika simpanan KWSP yang dikeluarkan itu disimpan pula selama setahun, maka akan dikenakan sekali lagi sebagai Zakat wang simpanan.

Jumlah Keluaran x 2.5% = Zakat

Saluran Bayaran Zakat

• Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyediakan beberapa saluran bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran zakat.

Antara saluran-saluran tersebut ialah :-

1. Kaunter Zakat di semua 9 cawangan Pusat Urusan Zakat (PUZ) seluruh negeri Terengganu

2. Kaunter Zakat Bergerak (Lori)

3. Skim Potongan Gaji

4. Ejen Zakat (Kaunter Bank Islam dan Pos Malaysia )

5. Perbankan Internet (Maybank, CIMB, Bank Islam, RHB Bank , Bank Rakyat, Pos Malaysia, Affin Bank, HSBC)

6. Kad Debit dan Kad Kredit Islamik

7. Kiriman Wang / Wang Pos

8. Amil yang dilantik

Zakat Wang Simpanan

• Zakat yang dikeluarkan oleh pendeposit daripada simpanan yang telah genap setahun dan cukup nisab.

Kaedah Pengiraan :

• Bagi Simpanan tetap iaitu setelah cukup haul simpanan iaitu 354 hari dan/atau mencukupi nisab ( andaian RM11,504.44 ) wajib dikeluarkan zakat.

• Bagi simpanan biasa pula, ia adalah berdasarkan jumlah baki terendah satu tahun atau beberapa akaun simpanan dalam tempoh satu tahun. Ia juga hendaklah diketahui tempoh haulnya iaitu tempoh bilakan bermulanya dan berakhirnya haul bagi simpanan tersebut.

Contoh:

(Baki terendah bagi tahun 2014 adalah RM15,000.00 )

RM15,000.00 = RM15,000.00 x 2.5%

                         = RM375.00

( Zakat yang dikenakan adalah sebanyak RM375.00). Sekiranya ada pertambahan yang cukup setahun , Maka Wajib dikeluarkan Zakat.


• Kami Menasihatkan pengiraan zakat simpanan dibuat dikaunter kami yang berhampiran tempat anda.

Zakat Perniagaan

• Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan.

Bentuk-bentuk perniagaan ialah :

i) Perniagaan Persendirian ( Tunggal )

ii) Perniagaan Perkongsian

iii) Perniagaan Syarikat

Zakat Pendapatan

• Pendapatan termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa gaji, upah , bonus , dividen, hasil sewaan, royalti , hibah , elaun , honorium, pampasan, pencen , perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk perolehan dan apa jua pendapatan berdasarkan kerjaya atau sebagai ahli profesional.

Pengertian Gaji

• Iaitu pendapatan seseorang yang merupakan ganjaran perkhidmatan dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau syarikat atau institusi.

• Pendapatan penggajian merangkum :- 

i) Gaji Tahunan

ii) Tunggukan Gaji

iii) Imbuhan tetap

iv) Lain-lain ( termasuk Bonus atau sesuatu yang boleh dikira sebagai pendapatan yang berkaitan dengan penggajian.

Pendapatan Bebas

•Iaitu pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran atau perkhidmatan yang merupakan ganjaran kepada khidmatnya.

Pendapatan bebas ini merangkumi :

i) Khidmat Guaman

ii) Khidmat Nasihat

iii) Juru Perunding

iv) Rawatan Perubatan

v) Kejuruteraan

vi) Seniman

vii) Lain-Lain

Pengertian Perolehan

• Perolehan bermaksud pendapatan yang dihasilkan daripada pemilikan seperti hasil kebun / ladang , rumah sewa, hasil pajakan tanah dan lain-lain perolehan.

Zakat Emas

• Zakat Emas dan perak merupakan zakat barangan kemas dan perhiasan wanita. Zakat yang dikeluarkan ke atas emas bergantung sama ada emas dipakai ataupun yang disimpan yang mana telah cukup nisab dan haulnya.

Kategori Emas Yang diwajibkan Zakat

i) Emas yang tidak dipakai

• Emas yang tidak dipakai bermaksud emas yang disimpan , tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun sama ada dalam bentuk asal atau dijadikan perhiasan.

ii) Emas Perhiasan Wanita

• Emas sama ada dipakai ( sebagai perhiasan yang halal ) sekali-sekala atau berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya melainkan , jika ia melebihi uruf ( tidak termasuk batu permata atau seumpamanya).

• Uruf adalah merupakan had pemakaian setempat yang dibenarkan dan uruf berbeza mengikut negeri.

Kaedah Pengiraan Zakat Emas

i) Emas yang tidak dipakai ( 85g)

  Zakat Emas = Nilai emas x 2.5%

Contoh Pengiraan

Harga emas satu gram   = RM135.35

Berat Emas                     : 100gm

Nilai Emas                      : RM135.35 x 100gm

                                             = RM13,535

Zakat Emas                    : RM13,535 x 2.5%

                                             = RM338.38

ii) Emas yang dipakai tidak dikenakan zakat melainkan melebihi uruf semasa ( 850g)

    Emas yang dipakai       : 1000 gram

   Uruf semasa                  :  850 gram

   Zakat yang dikenakan   : 1000 gram - 850 gram

                                           = 150 gram x harga pasaran x 2.5%

Nisab dan Kadar Perak

• Ijma Ulama telah menetapkan nisab zakat perak sebanyak lima auqiyah bersamaan 40 dirham ( 5 x 40 = 200 dirham ) iaitu bersamaan 595 gram. ( satu auqiyah - 119 gram )

• Kaedah pengiraan Zakat Perak :

Zakat Perak = Nilai Perak  x 2.5%

• Contoh Pengiraan Zakat Perak :

Harga Perak satu gram  : RM3

Berat Perak                       : 1000 gram

Zakat Perak                      : RM3 x 1000 gram x 2.5%

                                         = RM75

Cara Memohon Bantuan Zakat MAIDAM

1. Bermula 1 Januari 2015, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah menggunakan Sistem Permohonan Zakat secara atas talian bagi memudahkan rakyat yang ingin memohon bantuan Zakat MAIDAM.
 
2. Dengan menggunakan Sistem Permohonan Zakat ini, pemohon hendaklah mengisi maklumat-maklumat yang dikehendaki dan mencetak borang permohonan tersebut. Borang permohonan tersebut beserta salinan dokumen-dokumen yang dikehendaki hendaklah dihantar ke pejabat MAIDAM atau Kaunter Pusat Urusan Zakat Daerah masing-masing yang berdekatan bagi membolehkan ia diproses.
 
3. Jika borang permohonan beserta salinan dokumen tidak dihantar ke pejabat MAIDAM, maka permohonan tersebut tidak akan diproses. 
 
4. Bagi menggunakan Sistem Permohonan Zakat hendaklah menggunakan pelayar (browser) Google Chrome dengan resolusi terbaik ialah 1024 x 768.
 
5. Sistem Permohonan Zakat MAIDAM ini akan ditambah baik setiap masa bagi memudahkan rakyat dan warga MAIDAM memohon dan mengurus permohonan bantuan zaka
 
6. Klik pada Butang  di bawah untuk membuka laman menu sistem permohonan bantuan zakat.



 

Carta Alir Proses Permohonan Bantuan Zakat

Carta Alir Proses Bantuan Sosial dan Kemanusiaan

sosial

 

Carta Alir Proses Bantuan Pendidikan dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT)

ipt

 

Carta Alir Proses Bantuan  Ekonomi dan Keusahawanan

ekonomi

Had Kifayah

1. Maksud Had Al-Kifayah

•  Had Al-Kifayah bermaksud “Garis kecukupan minimum bagi keperluan  asasi seseorang individu dan tanggungannya berdasarkan kos sara hidup semasa”. Dalam konteks negeri Terengganu, Had Al-Kifayah merujuk kepada suatu kadar keperluan asasi yang paling minimum bagi sesebuah isi rumah yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berdasarkan kajian lapangan terhadap kos sara hidup semasa di negeri Terengganu.

2. Keperluan asas yang perlu diambil kira dalam penentuan Had Al-Kifayah:

    a.    Perlindungan/tempat tinggal
    b.    Makan dan minum
    c.    Pakaian
    d.    Perubatan
    e.    Pelajaran
    f.     Pengangkutan

3. Perkara yang diambil kira dalam penetapan kadar Had Al-kifayah

    a.     Maklumat ketua isi rumah (KIR)
    b.     Maklumat  ahli isi rumah / jumlah tanggungan (AIR)
    c.     Pendapatan suami / KIR
    d.     Pendapatan isteri
    e.     Pendapatan lain (Pemberian anak / Bantuan JKM / Sewaan dll)

 

4. Kadar Had Al-Kifayah yang ditetapkan. :

BIL

BUTIRAN

BANDAR

(RM)

LUAR BANDAR

(RM)

1

Pemohon (Tinggal Rumah Berbayar)

940.00

740.00

2

Pemohon (Tinggal Rumah Percuma)

640.00

540.00

3

Isteri Bekerja

490.00

460.00

4

Isteri Tidak Bekerja

310.00

280.00

5

Dewasa Tidak Bekerja / tidak bersekolah

0.00

0.00

6

Dewasa Tidak Bekerja (Cacat / Uzur)

220.00

200.00

7

Dewasa Menuntut / Belajar (18 – ke atas)

370.00

350.00

8

Remaja Bersekolah(13 – 17 tahun)

300.00

250.00

9

Kanak-kanak Bersekolah(7 – 12 tahun)

270.00

250.00

10

Kanak-kanak Pra Sekolah (5 - 6 tahun)

230.00

220.00

11

Kanak-kanak Belum Bersekolah (Bawah 4 tahun)

300.00

270.00

Berdasarkan butiran di atas tidak dimasukkan ibubapa sebagai tanggungan pemohon kerana ibubapa mereka mempunyai tanggungannya sendiri dan berhak memohon atau mendapatkan bantuan atas namanya sendiri sekiranya tergolong di kalangan asnaf fakir miskin.

 

Butiran tambahan yang perlu diambil kira sekali sahaja selain butiran di atas.

BIL

BUTIRAN

BANDAR / LUAR BANDAR

(RM)

1

Ibu Tunggal / Tinggal

200.00

2

OKU

200.00

3

Keluarga Bermasalah

200.00

4

Anak IPT

200.00

 

5. Kaedah pengiraan Had Al-kifayah :

Dalam pengiraan Had Al-Kifayah pendapatan kasar suami dan isteri akan ditolak dengan keperluan asas Ahli Isi Rumah (AIR) untuk mengetahui jumlah baki yang masih tertinggal daripada jumlah pendapatan tersebut. Jika negatif berkemungkinan seseorang tersebut akan layak  mendapat bantuan zakat, walau bagaimanapun terdapat tujuh (7) aspek lain lagi yang perlu diambil kira bagi melayakkan seseorang diluluskan sesuatu bantuan zakat. Sebaliknya jika mempunyai lebihan daripada jumlah pendapatan tersebut maka seseorang itu secara umumnya tidak layak menerima bantuan zakat.


Contoh :


i.       RM1,200.00 – RM1,500.00 = -RM300.00 (LAYAK TERIMA)


ii.      RM1,500.00 – RM1,200.00 = +RM300.00 (TIDAK LAYAK)


 

Siapa Penerima Zakat

1. Pengenalan Asnaf Zakat

• Skop agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berdasarkan yang telah ditetapkan oleh syara’. Asnaf tersebut seperti mana yang dijelaskan dalam Firman Allah (S.W.T) :

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (Surah At-Taubah : 60)

Daripada ayat di atas Allah (S.W.T) telah menggariskan lapan asnaf yang berhak menerima zakat iaitu Fakir, Miskin, Amil, Muallaf, Ar-Riqab, Al-Gharimin, Fisabilillah dan Ibnussabil. Bagi memastikan kriteria-kriteria sebenar asnaf-asnaf ini, pengurusan Agihan Zakat berpandukan kepada takrif asnaf sebagaimana berikut:

a. Fakir

- Fakir ialah orang Islam yang tiada harta atau pendapatan, atau ada harta atau pendapatan tetapi tidak mencapai 50% untuk memenuhi keperluan asasi diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya.  

b. Miskin

- Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan yang hanya boleh menampung lebih 50%, tetapi tidak mencapai 100 % untuk memenuhi keperluan asasi diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya. 


c. Amil

- Amil ialah individu atau organisasi yang dilantik oleh MAIDAM yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja urusan pungutan dan agihan zakat.

d. Muallaf

- Muallaf ialah seseorang yang dijinakkan hatinya dan telah memeluk agama Islam, tetapi tahap keimanannya masih lemah.

e. Ar-Riqab

- Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan sama ada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.

f. Al-Gharimin

- Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga dan tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera yang dibenarkan oleh hukum Syarak.

g. Fisabilillah

- Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

h. Ibnussabil

- Mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh hukum Syarak dari mana-mana jua negeri atau negara yang memerlukan bantuan.

•    Putus bekalan dalam perjalanannya.
•    Tidak dapat memanfaatkan hartanya untuk meneruskan perjalanan.
•    Memerlukan kemudahan asas dalam masalah perjalanan.
•    Ditinggalkan dalam perjalanan.

Bilangan Pengunjung

Hari ini 54

Hari sebelum 586

Minggu ini 3392

Bulan ini 23419

Jumlah 1040821

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Awan Tag

Undian

Apakah Pandangan Anda Terhadap Laman Web Rasmi MAIDAM?