Kuala Terengganu, 30 November 2018 – Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah menganjurkan Program Hari Keluarga MAIDAM selama dua (2) hari satu (1) malam bermula 30 November 2018 di Terengganu Equestrian Resort (TER). Lebih 700 kakitangan MAIDAM dan keluarga masing-masing hadir pada hari keluarga yang diadakan dalam suasana meriah.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang hari keluarga berlangsung, antaranya tazkirah, sukaneka untuk anak-anak dan juga untuk ibubapa termasuk aktiviti riadah.
YBhg. Dato’ Haji Osman bin Muda, Yang Dipertua MAIDAM telah merasmikan Majlis Penutup Program Hari Keluarga MAIDAM 2018, dalam ucapannya berkata ‘Hari Keluarga MAIDAM diadakan dengan tujuan merapatkan hubungan silatulrahim di antara kakitangan dan keluarga masing-masing memandangkan kebanyakannya sibuk dengan tugas harian dan mempunyai kekangan masa untuk bertemu. Melalui Hari Keluarga yang diadakan, ianya mampu memupuk semangat permuafakatan, kerjasama dan kesukanan dalam diri semua peserta’.
Acara hari keluarga diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah sukaneka kepada pemenang dan juga cabutan bertuah.