Kenyataan Akhbar : Kadar Fitrah Tahun 1437H

KENYATAAN AKHBAR

YANG DIPERTUA,
MAJLlS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU TERENGGANU

PENGUMUMAN KADAR FITRAH BAGI NEGERI TERENGGANU
TAHUN 1437H / 2016M

Setelah mendapat limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia AIWathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud AI-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman Serta Segala Jajahan Takluknya, dengan ini saya mengisytiharkan kadar fitrah bagi Negeri Terengganu Darul Iman bagi tahun 1437H bersamaan 2016M adalah
sebagaimana berikut :

1.    Jika dibayar dengan wang tunai, kadar fitrah yang telah ditetapkan adalah tidak kurang RM7.00 setiap orang. Sukacita dimaklumkan bahawa kadar nilaian tunai ini dikira berdasarkan kepada harga beras Gred SupeTempatan di pasaran tempatan yang mana nilainya bersamaan dengan beras 10% hancur serta beras 5% hancur. Bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis Super Import, maka kadar bayarannya adalah senilai dengan kadarberas yang dimakannya iaitu bersamaan 2.60 kilogram.

2.    Fitrah juga boleh dibayar dengan beras dan kadar timbangannya adalah 2.60 kilogram atau dengan sukatan 2.97 cupak yang bersamaan dengan 1 gantang Baghdad.

Bagi maksud pembayaran, orang Islam di negeri ini bolehlah membayar fitrah di mana-mana kaunter bayaran zakat MAIDAM dari jam 8.30 pagi sehingga 4.00 petang pada hari bekerja biasa. Bagi memberi kemudahan kepada masyarakat Islam di negeri ini, bermula 24 Jun hingga 5 Julai 2016, kaunter bayaran zakat MAIDAM akan dibuka 7 hari seminggu bermula 8.30 pagi - 4.00 petang.

MAIDAM juga telah melantik seramai 1,048 orang amil yang mana 68 orang daripadanya dilantik pada tahun 2016. Mereka akan menjalankan pungutan fitrah serta zakat harta di setiap masjid dan surau di negeri ini. Sukacita juga saya mengingatkan bahawa, adalah menjadi kesalahan sekiranya mana-mana orang Islam di negeri ini membayar fitrah atau zakat yang lain, selain kepada MAIDAM atau wakilnya. Ini telah termaktub dalam seksyen 20 (b) Enakmen Bil. 7 Tahun 2001 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang menyatakan “Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya”.

Pada tahun lepas (2015) MAIDAM telah memungut fitrah sebanyak RM 5.9 juta dan ini menyumbang kepada 4.6 % dari jumlah keseluruhan pungutan zakat bagi negeri Terengganu yang berjumlah RM 126 juta. Pada tahun ini (2016) adalah dianggarkan, pungutan fitrah akan mencapai angka RM 6 juta.

Maka dengan ini saya menyeru dan menasihatkan kepada semua orang Islam di negeri ini supaya menunaikan fitrah dengan seawal yang mungkin bagi mengelakkan sebarang kesukaran, dan tidak menunggu sehingga saat akhir atau sejurus sebelum solat Idulfitri iaitu waktu terakhir wajib pembayarannya.

Berdasarkan pengalaman, terdapat sesetengah orang Islam di negeri ini yang menunggu sehingga saat akhir waktu pembayarannya dan amalan ini boleh menyebabkan fitrah tidak ditunai pada waktu yang ditetapkan.

Sekian, terima kasih.

Yang DiPertua,
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

17 Syaaban 1437H
24 Mei 2016M

MAIDAM Taja 20 Pelajar Untuk Lahirkan Ulama Pelapis

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menaja seramai 20 pelajar peringkat ijazah dan sarjana tahun ini bagi melahirkan lebih ramai ulama pelapis pada masa depan.

Yang Dipertuanya, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata tujuh daripada pelajar terbabit sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di universiti di Jordan manakala 13 lagi peringkat sarjana di beberapa universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Katanya, mereka dari kalangan pelajar yang cemerlang dan mampu menguasai bahasa Arab dengan baik.

“Kita ada menyediakan biasiswa kepada pelajar sebelum ini,  tetapi ia dihentikan beberapa tahun dahulu atas sebab tertentu. Bagaimanapun, tahun ini kita meneruskan kembali penajaan kerana pelbagai faktor terutama masalah ketandusan ulama yang ketara di negeri ini.

“Terengganu melahirkan ribuan hafiz dan lulusan agama daripada pelbagai sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT), kita masih kekurangan ulama pelapis yang hebat serta disegani seperti suatu masa dahulu,” katanya.

Shaikh Harun berkata, MAIDAM akan terus menaja pelajar berkenaan hingga ke peringkat doktor falsafah jika mereka memperoleh keputusan yang baik.

Katanya,  pembiayaan pelajar ijazah selama empat tahun melibatkan RM20,000 setahun, manakala pelajar sarjana diberikan mengikut bidang pengajian dan keperluan.

“Kita akan terus menaja mereka hingga ke peringkat ijazah jika memperoleh keputusan jayyid jiddan (sangat baik).

“Bagaimanapun, mereka terikat dengan perjanjian untuk berkhidmat di pejabat agama (MAIDAM) kerana itulah tujuan sebenar biasiswa berkenaan,” katanya.

Majlis Ceramah Ihya Ramadhan dan Penyampaian Bantuan Zakat Ramadhan 1437H/2016M Saudara Kita Negeri Terengganu

 

Majlis Ceramah Ihya Ramadhan dan Penyampaian Bantuan Zakat Ramadhan 1437H/2016M Saudara Kita Negeri Terengganu telah diadakan di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu pada 27 Jun 2016 lalu.


Majlis Penyampaian Zakat Ramadhan telah disempurnakan oleh YB Dato' Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM. Turut hadir Dato' Haji Omar Musa, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM dan timbalannya, Haji M. Rozi Bidin. MAIDAM menyediakan RM415,200.00 sebagai bantuan sempena Ramadhan kepada saudara kita yang melibatkan 868 orang penerima termasuk 251 keluarga orang Asli.
 

Manakala ceramah Ihya Ramadhan pula telah disampaikan oleh Bro. Haji Kamaruddin Abdullah, Pengerusi Pulau Pinang Islamic Propagation Society International.


Dalam majlis tersebut turut dijemput wakil masyarakat India dan Cina di negeri Terengganu.

 

Majlis Sambutan Hari Raya 2016 dan Penyampaian APC

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 28 Julai 2016 baru-baru ini. Ahli-ahli Mesyuarat Majlis juga turut hadir ke program tersebut bersempena Mesyuarat Majlis yang diadakan pada hari yang sama.

MAIDAM Terima Kunjungan Dari Korea Muslim Federation

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) buat pertama kalinya baru-baru ini, menerima kunjungan dari Korea Muslim Federation (KMF) Cawangan Busan, Korea. Delegasi yang diketuai oleh pengerusinya iaitu Encik Zubair Lee Dong Ha telah disambut oleh Yang Dipertua MAIDAM, YB. Dato’ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Haji M.Rozi bin Bidin dan juga pegawai-pegawai MAIDAM.

Tujuan dan hasrat utama lawatan dari KMF ini adalah untuk mengetahui dan berbincang dengan lebih lanjut lagi tentang Pengurusan Kutipan dan Agihan Zakat, Sistem Waqaf dan juga pengurusan Ar-Rahnu di Terengganu ini.    

Selain bertukar-tukar pandangan dalam perkara di atas, perbincangan juga meliputi isu-isu semasa dan permasalahan yang dihadapi oleh orang Islam di Korea. Diharapkan dengan lawatan ini hubungan di antara kedua negara ini akan bertambah erat dan dapat memberi manfaat kepada satu sama lain. 

MAIDAM Terima Kunjungan Korea Muslim Federation

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) buat pertama kalinya baru-baru ini, menerima kunjungan dari Korea Muslim Federation (KMF) Cawangan Busan, Korea. Delegasi yang diketuai oleh pengerusinya iaitu Encik Zubair Lee Dong Ha telah disambut oleh Yang Dipertua MAIDAM, YB. Dato’ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Haji M.Rozi bin Bidin dan juga pegawai-pegawai MAIDAM.

Lawatan Lembaga Zakat Selangor Ke Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu ( MAIDAM )

Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mengadakan lawatan ke Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada 24 Ogos 2016 baru-baru ini. Rombongan LZS seramai 20 orang itu telah diketuai oleh Pengurus Besar Komunikasi Korporat LZS, Puan Norajun Ainun binti Mohd Hashim. Peserta lawatan adalah terdiri daripada pelbagai divisyen antaranya dari bahagian Teknologi Maklumat, Agihan, Kutipan, Dakwah, Kaunter dan juga Komunikasi Korporat.


Kunjungan rombongan ini adalah bertujuan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pengurusan dan kutipan zakat di MAIDAM. Selain dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kedua agensi, lawatan ini juga memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak di mana masing-masing dapat berkongsi idea dan maklumat serta berbagai pandangan diutarakan dalam usaha untuk memperbaiki dan menaikkan lagi taraf perkhidmatan kepada orang awam. Selepas selesai sesi taklimat dan soal-jawab, kedua-dua agensi saling bertukar cenderamata dan bergambar sebagai kenangan.

Klik Untuk Melihat Foto semasa Lawatan

Majlis Tilawah, Hafazan Al-Quran, Azan dan Kuiz Saudara Kita Negeri Terengganu Kali Ke 6 Tahun 1437H

Majlis Tilawah, Hafazan Al-Quran, Azan dan Kuiz Saudara Kita Negeri Terengganu Kali Ke 6 Tahun 1437H / 2016M dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah diadakan pada 7-10 September 2016 bersamaan 5-8  Zulhijjah 1437 baru-baru ini di Hotel Permai Kuala Terengganu.

Seramai 128 orang peserta terlibat yang mewakili 7 daerah dan 3 Perkampungan Orang Asli (POA) iaitu POA Sungai Pergam Kemaman, POA Sungai Sayap Besut dan POA Sungai Berua Hulu Terengganu.

7 orang hakim telah mengadili semua acara yang dipersembahkan. Antara acara-acara yang diadakan ialah :

i. Tilawah Al-Quran

ii. Hafazan Al-Quran

iii. Azan

iv. Kuiz

v. Iqra’ (Saudara Kita Baharu)

vi. Amali Solat & Wudhuk (Saudara Kita Baharu)

vii. Azan (Saudara Kita Baharu)

viii. Amali Solat & Wudhuk (Masyarakat Orang Asli)

ix. Kuiz Fardhu Ain (Masyarakat Orang Asli)

x. Amali Solat & Wudhuk (Pelajar Sekolah Kebangsaan Orang Asli)

xi. Azan (Pelajar Sekolah Kebangsaan Orang Asli)

xii. Hafazan Al-Fatihah, Bacaan dalam Solat, Surah-surah Terpilih, Juz Amma (Pelajar Sekolah Kebangsaan Orang Asli)

Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YB Dato' Haji Shaikh Harun bin Ismail, Yang Dipertua MAIDAM. Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM dan Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) JHEAT.

 

Klik Untuk Melihat Foto Majlis Tilawah

 

Kunjungan Hormat UiTM Terengganu ke MAIDAM

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah menerima kunjungan daripada rombongan UiTM cawangan Terengganu pada 6 Oktober 2016 baru-baru ini.

 

Rombongan tersebut diketuai oleh Prof. Madya Dr. Abdol Samad Nawi selaku Rektor UiTM Terengganu dan 8 orang pegawai kanan yang terdiri dari Ahli Jawatankuasa Agihan Zakat. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Tuan Haji M.Rozi Bidin dan pegawai MAIDAM khususnya daripada Bahagian Pengurusan Zakat telah menerima rombongan ini bagi pihak MAIDAM.

 

Kunjungan ini selain bertujuan untuk beramah mesra dengan Pengurusan Tertinggi MAIDAM, ianya juga untuk mendapatkan maklumat terkini dan perkembangan semasa di MAIDAM khususnya dalam pengagihan zakat serta peluang kerjasama yang boleh dilaksananakan di antara UiTM dan juga MAIDAM.

 

Dimaklumkan bahawa MAIDAM telahpun menyumbang RM40,000 kepada tabung asnaf di UiTM bagi diagihkan kepada para pelajar fakir miskin di kalangan anak Terengganu.

 

 

 

Bilangan Pengunjung

Hari ini 1988

Hari sebelum 3349

Minggu ini 10674

Bulan ini 43491

Jumlah 2708090

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Awan Tag

Undian

Apakah Pandangan Anda Terhadap Laman Web Rasmi MAIDAM?