Siapa Penerima Zakat

Pengenalan Asnaf Zakat

Skop agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Syara’. Asnaf-asnaf tersebut sepertimana yang dijelaskan dalam Firman Allah (S.W.T) yang bermaksud :
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (Surah At-Taubah : 60)

Daripada ayat di atas Allah S.W.T. telah menggariskan lapan asnaf yang berhak menerima zakat iaitu Fakir, Miskin, Amil, Muallaf, Ar-Riqab, Al-Gharimin, Fisabilillah dan Ibnussabil. Bagi memastikan kriteria-kriteria sebenar asnaf-asnaf ini, pengurusan Agihan Zakat telah menetapkan berpandukan kepada takrif asnaf sebagaimana berikut:

a. Fakir

Fakir ialah orang Islam yang tiada harta atau pendapatan, atau ada harta atau pendapatan tetapi tidak mencapai 50% untuk memenuhi keperluan asasi diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya.  

b. Miskin

Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan yang hanya boleh menampung lebih 50%, tetapi tidak mencapai 100 % untuk memenuhi keperluan asasi diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya. 

c. Amil

Amil ialah individu atau organisasi yang dilantik oleh MAIDAM yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja urusan pungutan dan agihan zakat.

d. Muallaf

Muallaf ialah seseorang yang dijinakkan hatinya dan telah memeluk agama Islam, tetapi tahap keimanannya masih lemah.

e. Ar-Riqab

Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan sama ada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.

f. Al-Gharimin

Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga dan tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera yang dibenarkan oleh hukum Syarak.

g. Fisabilillah

Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

h. Ibnussabil

Mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh hukum Syarak dari mana-mana jua negeri atau negara yang memerlukan bantuan :

•    Putus bekalan dalam perjalanannya.
•    Tidak dapat memanfaatkan hartanya untuk meneruskan perjalanan.
•    Memerlukan kemudahan asas dalam masalah perjalanan.
•    Ditinggalkan dalam perjalanan.



Bilangan Pengunjung

Hari ini 386

Hari sebelum 2475

Minggu ini 386

Bulan ini 50439

Jumlah 2715038

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Awan Tag

Undian

Apakah Pandangan Anda Terhadap Laman Web Rasmi MAIDAM?