Kuala Terengganu - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan Sambutan Tiga Abad Pentadbiran Islam di Terengganu pada 18-22 Mei 2014. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan berangkat merasmikan program tersebut pada 18 Mei yang lalu di perkarangan Pusat Pentadbiran Islam, Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.
Turut berkenan berangkat DYMM Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar, YAB Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman bersama isteri To’ Puan Harlina Zakaria.
Turut hadir ialah Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Mazlan Ngah, Yang Dipertua MAIDAM, YBhg Dato’ Bentara Luar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Dato’ Mohd Rozali Saleh, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.
Sultan Mizan kemudiannya berkenan bertitah dan seterusnya menyempurnakan majlis perasmian dengan memalu gong.
Majlis diakhiri dengan lawatan baginda Sultan dan Sultanah ke ruang pameran dan gerai jualan yang disediakan bersempena program sambutan ini.