Siapa Penerima Zakat

1. Pengenalan Asnaf Zakat

• Skop agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berdasarkan yang telah ditetapkan oleh syara’. Asnaf tersebut seperti mana yang dijelaskan dalam Firman Allah (S.W.T) :

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (Surah At-Taubah : 60)

 

Daripada ayat di atas Allah (S.W.T) telah menggariskan lapan asnaf yang berhak menerima zakat iaitu Fakir, Miskin, Amil, Muallaf, Ar-Riqab, Al-Gharimin, Fisabilillah dan Ibnussabil. Bagi memastikan kriteria-kriteria sebenar asnaf-asnaf ini, pengurusan Agihan Zakat berpandukan kepada takrif asnaf sebagaimana berikut:

a. Fakir

- Fakir ialah orang Islam yang tiada harta atau pendapatan, atau ada harta atau pendapatan tetapi tidak mencapai 50% untuk memenuhi keperluan asasi diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya.  

b. Miskin

- Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan yang hanya boleh menampung lebih 50%, tetapi tidak mencapai 100 % untuk memenuhi keperluan asasi diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya. 


c. Amil

- Amil ialah individu atau organisasi yang dilantik oleh MAIDAM yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja urusan pungutan dan agihan zakat.

d. Muallaf

- Muallaf ialah seseorang yang dijinakkan hatinya dan telah memeluk agama Islam, tetapi tahap keimanannya masih lemah.

e. Ar-Riqab

- Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan sama ada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.

f. Al-Gharimin

- Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga dan tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera yang dibenarkan oleh hukum Syarak.

g. Fisabilillah

- Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

h. Ibnussabil

- Mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh hukum Syarak dari mana-mana jua negeri atau negara yang memerlukan bantuan.

•    Putus bekalan dalam perjalanannya.
•    Tidak dapat memanfaatkan hartanya untuk meneruskan perjalanan.
•    Memerlukan kemudahan asas dalam masalah perjalanan.
•    Ditinggalkan dalam perjalanan.

 

 

Bilangan Pengunjung

Hari ini 162

Hari sebelum 715

Minggu ini 2579

Bulan ini 17800

Jumlah 186637

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Awan Tag