Program Pelupusan Abu Al-Quran Ke Laut

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 1,800 kilogram abu al-Quran lama dan rosak berjaya dilupuskan di Laut China Selatan, semalam sekali gus dianggap yang terbesar berbanding dua tahun sebelumnya, iaitu 800kg pada tahun lalu dan 200kg pada 2012.


Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh berkata, bencana banjir terburuk yang melanda Terengganu pada akhir tahun lalu adalah antara faktor berlakunya kerosakan al-Quran sehingga menyebabkan jumlah kitab suci dilupuskan itu meningkat tahun ini.


Menurutnya, sebanyak 1,500kg abu diproses Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melibatkan al-Quran seberat 10 tan, manakala 300kg abu lagi diproses Percetakan Yayasan Islam Terengganu.

“Al-Quran ini datang dari seluruh negeri membabitkan orang perseorangan, masjid dan surau yang mempunyai al-Quran lama. Tahun ini lebih banyak berbanding tahun lalu kerana banyak al-Quran rosak akibat banjir. Banjir datang tiba-tiba, banyak al-Quran tenggelam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai Program Pelupusan Abu Al-Quran Ke Tengah Laut Tahun 2014/ 1435H di Laut China Selatan, semalam.

Program anjuran Maidam itu dibuat kira-kira jam 10.30 pagi, manakala sesi pelupusan mengambil masa kira-kira satu jam di perairan Kuala Terengganu yang terletak kira-kira 12 batu nautika atau sejauh 20 kilometer dari jeti Shahbandar Kuala Terengganu, dengan air sedalam 50 meter.

Program itu turut mendapat kerjasama Yayasan Islam Terengganu, Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur (Terengganu), Kementerian Dalam Negeri Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Terengganu, serta mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan negeri serta persetujuan Jabatan Alam Sekitar negeri.

Proses pelupusan al-Quran itu dibuat dengan menggunakan relau khas bagi memudahkan proses, mengurangkan tempoh pembakaran dan tidak menjejaskan alam sekitar.

Ambil pandangan ulama

Mohd Rozali berkata, program dibuat tiga kali berturut-turut itu membuktikan pihaknya memandang tinggi kesucian al-Quran dengan meneruskan program pelupusan al-Quran berdasarkan garis panduan ditetapkan Islam.

“Apa yang menarik, kita dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai cara untuk menjaga kesucian al-Quran yang kita pelajari dan baca. Kalau kita tidak suka, kita kena buang dengan cara terbaik.

“Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan negeri sama-sama membenarkan pelupusan dibuat dengan cara dibakar dan abunya ditanam atau dilupuskan ke laut. Kita ambil pandangan ulama yang menyatakan lupus atau buang ke laut lebih baik daripada ditanam di daratan kerana dikhuatiri berlaku pencemaran di kawasan pembuangan,” katanya.

Tak kenakan bayaran

Mengulas lanjut, kata Mohd Rozali, pihaknya menggalakkan orang ramai menghantar al-Quran yang rosak atau cetakan lama yang tidak sesuai dengan masa kini kepada pejabat agama daerah untuk dilupuskan tanpa mengenakan apa-apa bayaran, berbanding syarikat swasta yang mengenakan kira-kira RM11 bagi sekilogram al-Quran.

Menurut beliau, pembakaran perlu dibuat dengan hati-hati dan menegaskan, berdosa jika al-Quran tidak terbakar sepenuhnya.

“Kita buat percuma untuk membantu menjaga kesucian al-Quran. Kadang-kadang orang kampung serabut tengok al-Quran banyak, dia buang dan bakar, tetapi tidak habis. Dia bakar separuh hangus, separuh tidak hangus, ini berdosa. Kita galakkan kepada yang tidak tahu (hantar kepada pejabat agama).

“Kadangkala dia boleh buat sendiri. Setakat sebuah atau dua buah, dia boleh buat sendiri, bakar dan buang ke sungai atau tanam ke tempat terjaga daripada kotoran atau pencemaran,” katanya.

Dikemaskini pada Selasa, 26 September 2017 23:38
Nilaikan butir ini
(0 undian)

Bilangan Pengunjung

Hari ini 37

Hari sebelum 1128

Minggu ini 11309

Bulan ini 12515

Jumlah 960636

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Awan Tag

Undian

Apakah Pandangan Anda Terhadap Laman Web Rasmi MAIDAM?