25 Disember 2018 (Selasa) - Unit Dakwah Saudara Kita, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah berjaya melaksanakan Penilaian Pemahaman Islam Saudara Kita (PPISK) Saudara Kita Negeri Terengganu Tahun 1440H/2018M.
PPISK diadakan secara serentak di lapan (8) pusat peperiksaan antaranya SMA Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, SMA Ittifaqiah, Besut, SMA Sultan Ismail, Dungun, SMA Al-Falah, Kemaman, SMA Marang, Masjid Sultan Mahmud, Hulu Terengganu, Masjid Permaisuri, Setiu dan Penjara Marang melibatkan saudara-saudara kita yang mengikuti 30 buah Kelas Bimbingan Saudara Kita (KBSK) Negeri Terengganu.
Seramai 619 calon-calon PPISK termasuk banduan Saudara Kita di Penjara Marang dibahagikan kepada tiga (3) kategori peperiksaan mengikut tahap iaitu Tahap A, Tahap B dan Tahap C.
Keputusan PPISK berserta Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan dijangka diadakan pada pertengahan bulan Februari 2019.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua kakitangan dan pelajar praktikal Unit Dakwah Saudara Kita, Pengawas-Pengawas Peperiksaan, Pejabat Agama Daerah, guru-guru KBSK dan calon-calon PPISK yang telah menjayakan PPISK.