web

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berjaya menganjurkan Majlis Tilawah, Hafazan al-Quran, Azan dan Kuiz Saudara Kita Negeri Terengganu Kali Ke-7 Tahun 1440M/2018M baru-baru ini.

Program tersebut telah diadakan di Permai Hotel, Kuala Terengganu bermula 3 Oktober (23 Muharram 1440H) dan berakhir pada 6 Oktober 2018 (26 Muharram 1440H).

Program ini merupakan medan tarbiyyah dan motivasi kepada komuniti saudara kita termasuklah masyarakat orang asli di negeri Terengganu untuk memantapkan penghayatan hidup beragama mencakupi aspek kemahiran tilawah, hafazan al-Quran, azan dan kuiz.

Pada tahun ini, satu kategori baharu telah ditambah iaitu kategori 'Saudara Kita Baharu' (tempoh memeluk Islam 5 tahun bermula dari Januari 2014) untuk acara iqra', amali solat dan wudhu' serta azan. Ini adalah bagi membuka ruang dan peluang kepada saudara kita yang baharu memeluk Islam.

Sesungguhnya, program ini juga bukan sekadar menghidupkan syiar dan menanam semangat ingin mempelajari ajaran Islam dengan lebih mendalam di kalangan saudara kita, malah turut bermatlamat mengukuhkan perpaduan, persefahaman dan silaturrahim sesama saudara seIslam yang berlatarbelakangkan kepelbagaian ras, budaya dan bahasa.

Semoga program ini akan memberikan impak positif khususnya kepada amalan hidup beragama saudara kita dan terpahat di sanubari mereka pegangan aqidah yang kukuh untuk kejayaan hidup dunia sehinggalah akhirat.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MAIDAM, YBhg Dato’ Haji Osman Muda. Turut Hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Tn Haji W. Ismail Sahaimi W. Omar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pentadbiran dan Pembangunan) MAIDAM, En Saidi Salleh @ Sulong, Ketua Penolong Pesuruhjaya (Undang-undang Keluarga) JHEAT, Tn Haji Musameh Jusoh dan pegawai-pegawai MAIDAM dan JHEAT.

Bilangan Pengunjung

Hari ini 176

Hari sebelum 793

Minggu ini 176

Bulan ini 10033

Jumlah 178870

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Awan Tag