Malay Arabic Chinese (Simplified) English Hindi

250 Warga MAIDAM Dan JHEAT Lafaz Ikrar Bebas Rasuah

Seramai 250 warga Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM)  dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)  hari ini menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR) sekali gus menyatakan komitmen untuk memerangi rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lafaz ikrar diketuai Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim dan kese­mua IBR yang ditandatangani itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah SPRM Terengganu, Zainal Ayop.

Perjanjian itu turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Mutimedia Dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Pegawai JHEAT dan Maidam di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 




Ketika berucap dalam majlis itu, Wan Mohd berkata, ikrar dilafaz itu menjadi satu perjanjian di mana ia turut mengingatkan semua warga kerja JHEAT dan MAIDAM supaya jangan sesekali mengamalkan budaya rasuah.

“IBR merupakan satu langkah yang patut dipuji kerana ia mampu meningkatkan rasa tanggungjawab pemimpin dan warganya dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada melakukan perlakuan rasuah selama mana mereka menjawat jawatan yang disandang.

“Malah, secara tidak langsung memberi mesej kepada masyarakat bahawa jabatan kita ini samada JHEAT dan Maidam berjanji menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tidak prejudis ke atas mana-mana warganya yang melibatkan perbuatan rasuah,” ujarnya.

Katanya, semuanya perlu bermula daripada pembudayaan intergriti dalam penjawat awam terutamanya warga JHEAT dan Maidam kerana ia merupakan satu batu asas untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.

“Justeru, elemen amalan positif berteraskan nilai murni yang dikenalpasti dalam pelan integriti nasional seperti jujur serta ikhlas perlu dihayati dan sentiasa diamalkan oleh semua pihak.

“Hal ini amatlah penting apabila kita mempunyai kesedaran, serta menjadikan integriti sebagai amalan harian maka akan wujudlah satu persekitaran kondusif ke arah pembudayaan nilai integriti dalam organisasi,” katanya.

Sumber : teganukita.net

Paparan terbaik menggunakan resolusi 1024x768 melalui pelayar Mozilla Firefox 1.5 dan ke atas.

Penafian : Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami disebabkan penggunaan maklumat di dalam laman web ini.

 

Hak Cipta Terpelihara © 2013-2016 Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu.