PENGENALAN


Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan kerjasama Bank Rakyat di bawah seliaan Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) telah mengadakan projek khas bagi memperkasakan wakaf di negeri Terengganu. Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bersama Dana Wakaf MAIDAM-Bank Rakyat telah memutuskan untuk membina satu Pusat Hemodialisis bagi meningkatkan sektor kesihatan rakyat negeri Terengganu. Pusat Hemodialisis yang berkonsepkan wakaf ini merupakan salah satu instrumen wakaf yang bergerak secara dinamik pada masa kini. Ini membuktikan juga pelaksanaan wakaf tidak terhad kepada kedudukan agama semata-semata bahkan membantu pembangunan masyarakat selaras dengan amalan konsep wakaf yang dilakukan oleh para sahabat. Pusat ini dicadangkan dibina di atas sebidang tanah wakaf. Lokasi pembinaan pusat ini sangat strategik iaitu terletak di Kampung Baroh Che’ Miah, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu. Hartanah ini juga berdekatan dengan Sekolah Menengah Agama Khairiah dan kira-kira 1 km dari pusat bandar. Pusat Hemodialisis ini mengamalkan konsep perkhidmatan mesra ibadah dengan ciri-ciri sebagaimana berikut:-
  1. Doa permulaan pekerjaan setiap pagi.
  2. Menyediakan kemudahan ruangan solat.
  3. Kerusi pesakit mengadap kiblat.
  4. Setiap siaran televisyen yang dipaparkan di ruangan khidmat pelanggan akan ditutup ketika azan berkumandang.
  5. Dikumandangkan alunan bacaan al-Quran di Pusat Hemodialisis.
  6. Mengajar kepada pesakit berkenaan ‘pelaksanaan ibadat dalam keadaan sakit’ mengikut waktu yang sesuai.
  7. Kadar bayaran yang dikenakan kepada pesakit di kalangan asnaf miskin akan ditanggung melalui peruntukan zakat di bawah sinf miskin.
  8. Bagi pesakit yang bukan terdiri di kalangan asnaf akan dikenakan bayaran seperti biasa dengan dibuat potongan pada masa tertentu.
Di samping itu, kemudahan lain seperti tempat letak kenderaan juga akan disediakan untuk memberikan keselesaan kepada pesakit dan pengunjung. Anggaran kos operasi Pusat Hemodialisis MAIDAM pada fasa pertamanya (dalam tiga tahun pertama) adalah RM770,740.00 sementara peruntukan dana wakaf terdiri daripada kos peralatan perubatan dan peralatan bukan perubatan masing-masing berjumlah RM701,780.00 dan RM68,960.00. Bagi kos pengurusan, Hospital Kuala Terengganu menganggarkan kos pengurusan sebanyak RM872,364.00 yang merangkumi pengambilan sembilan kakitangan. Untuk permulaan, pembayaran ini akan ditanggung di bawah peruntukan zakat. Kos pengurusan akan ditanggung oleh dana ini setelah faedah dari dana wakaf bertambah. Terdapat 150 kes pesakit buah pinggang dan minimum 30 pesakit dalam senarai menunggu rawatan dialisis di Kuala Terengganu setiap tahun. Sehingga 2018, terdapat 580 pesakit yang direkodkan, masih menjalani rawatan. Dengan perkhidmatan terhad yang ditawarkan oleh hospital atau Pusat Hemodialisis sedia ada dan peningkatan jumlah pesakit setiap tahun; menjadikan inisiatif ini sangat relevan.

IMPAK PROJEK
  1. Mengurangkan jumlah pesakit dalam senarai menunggu.
  2. Memberi rawatan dialisis yang lebih baik kepada pesakit yang ada dan yang baru.
  3. Membantu golongan kurang bernasib baik dalam meningkatkan kesihatan mereka dengan kos yang lebih rendah.
CARA BERWAKAF
  1. Hadir ke Kaunter MAIDAM di Ibupejabat serta MAIDAM Daerah
  2. Hadir ke mana-mana Cawangan BANK RAKYAT
  3. Saluran JomPAY Sila Klik
  •  Sila isi no kad pengenalan, nama, nombor telefon dan alamat. 
  •  Pilih jenis wakaf DANA WAKAF BR-AIBIM-MAIDAM.
  • Masukkan jumlah sumbangan dan ikuti arahan seterusnya.

Bilangan Pengunjung

Hari ini 292

Hari sebelum 3463

Minggu ini 21263

Bulan ini 64912

Jumlah 1739383

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Cloud Tag