Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 28 Julai 2016 baru-baru ini. Ahli-ahli Mesyuarat Majlis juga turut hadir ke program tersebut bersempena Mesyuarat Majlis yang diadakan pada hari yang sama.
Berbagai juadah disediakan bagi meraikan para tetamu dan kakitangan Kompleks Seri Iman dalam program sambutan hari raya pada kali ini. Paling mendapat sambutan ialah masakan kambing golek yang telah disediakan sebanyak 5 ekor. Di samping makanan utama yang terdiri daripada nasi tomato, nasi dagang dan sate, turut disediakan laksa kuah putih, mee talam, lemang, ketupat, rendang, ayam pusing, pelbagai kuih tradisional, cendol dan ais krim.
Sebelum daripada itu, Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) diadakan di Dewan Auditorium, Kompleks Seri Iman. Majlis penyampaian APC telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MAIDAM, YB Dato' Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail. Seramai 14 orang pegawai dan kakitangan MAIDAM menerima anugerah tersebut. Turut diraikan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM yang juga Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato' Haji Omar bin Musa yang mula bersara pada 26 Julai 2016.