Print this page

MB Ucap Tahniah Atas Kejayaan Pelajar STAM

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kerana sekali lagi melakar sejarah dalam pembangunan pendidikan di Terengganu.


Katanya, memperolehi Gred Purata Negeri (GPN) 2.20, selain mampu mengatasi GPN Nasional 3.22 adalah pencapaian terbaik dalam tempoh empat tahun bukan sesuatu yang mudah.


“Saya percaya kecemerlangan ini terhasil berkat usaha gigih dan keikhlasan semua warga pendidik, ibubapa serta masyarakat.

“Bagi pihak kerajaan, saya dan barisan kepimpinan Terengganu mengucapkan terima kasih dan syabas anak-anak yang menghadiahkan kejayaan ini kepada rakyat juga kerajaan negeri,” katanya melalui laman Facebook.

Menurutnya, kerajaan sentiasa memberi sokongan kuat di atas sebarang perancangan demi peningkatan prestasi pendidikan.

“Untuk mencapai kecemerlangan agak lebih mudah berbanding untuk mempertahankan kecemerlangan yang sudah kita miliki.

“Insya Allah kita mampu melakukannya di tahun-tahun akan datang, dengan syarat kita perkemaskan lagi sikap kerjasama yang selama ini tumbuh subur di sanubari warga pendidik,” katanya.

Ahmad Razif turut berpesan supaya jangan leka dibuai angan-angan indah dek kejayaan yang dikecapi kini.

“Ingatlah kejayaan anda ini terbina daripada pengorbanan banyak pihak. Jangan sesekali lupa dengan kata-kata hebat orang bijak pandai Di Sini Bumi Di Pijak Di Situ Langit Dijunjung,” katanya

Dalam laporan Teganukita semalam, Pencapaian Terengganu dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2014 dengan Gred Purata Negeri (GPN) 2.20 yang diumumkan hari ini, adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun.

Keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.18 peratus berbanding STAM tahun lalu yang mencatat GPN 2.38.

Manakala STAM 2012 pula merekodkan 2.37 dan STAM 2011 dengan pencapaian 2.54.


Sumber: Teganukita.my

Rate this item
(0 votes)