HULU TERENGGANU, 15 Sept (Bernama) -- Sebanyak 560 pelajar dari sekolah menengah agama di seluruh negara menyertai program Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia peringkat kebangsaan selama empat hari bermula semalam di Akademi Binaan Malaysia (Wilayah Timur), Jenagor di sini.
Program julung kali diadakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama kerajaan negeri Terengganu bertujuan untuk mengukur pemahaman pelajar dalam menghayati dan mengamal cara hidup sebagai seorang Muslim.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu Datuk Mohd Rozali Salleh berkata program itu juga bertujuan mempromosikan kesenian berunsurkan Islam di kalangan masyarakat untuk mengajak penggemar dan pendengarnya mengingati Allah.
"Sempena program ini juga sebanyak lapan acara dipertandingkan antaranya tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, syarahan bagi tiga bahasa iaitu Arab, Melayu serta Bahasa Inggeris, perbahasan Bahasa Melayu, nasyid serta pertandingan khat.
Program ini juga sebenarnya merangkumi kurikulum dan kokurikulum yang terkandung dalam pembelajaran dalam kelas dan inilah masanya untuk pelajar-pelajar mengaplikasikannya dan program ini juga dijadikan platform untuk mereka mengenali rakan-rakan yang lain," katanya semalam.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha.
-- BERNAMA