MAIDAM Bantu Kelantan Lupus 20 Ribu Kg Quran Rosak Akibat Banjir

Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) membantu melupuskan sebanyak 20,000 kg al-Quran yang rosak dari Kelantan akibat banjir yang melanda negeri itu akhir tahun lalu.


Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh berkata, pihaknya bersedia membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) melupuskan al-Quran yang rosak itu dengan menggunakan kaedah pembakaran mengikut syarak.

Kerjasama dan persetujuan itu terjalin ketika MAIDAM turun padang membantu mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan pada Januari lalu.

Menurutnya, setakat ini, kemampuan mesin atau relau pelupusan al-Quran boleh membakar sehingga 200 kg al-Quran setiap hari.

“Memandangkan sebanyak 20 metrik tan atau 20,000 kilogram al-Quran rosak dari Kelantan perlu dilupus, dijangka siap dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

“Ini sebagai permulaan dan kita akan lihat lagi bagaimana keadaan pengumpulan al-Quran yang rosak di sana kerana ini adalah sebahagian daripada al-Quran yang rosak yang dikumpulkan JHEAIK,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima rombongan dari JHEAIK bersama empat lori yang memuatkan al-Quran rosak, di perkarangan Pejabat MAIDAM, Kuala Terengganu, hari ini.

Rozali berkata, MAIDAM juga turut melupuskan sebanyak kira-kira 8,000 kg al-Quran yang rosak dari Kemaman, yang merupakan daerah paling teruk dilanda banjir di Terengganu serta 1,000 kg dari Dungun, pada tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah JHEAIK, Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 100,000 kilogram al-Quran yang rosak dari seluruh Kelantan akibat ditenggelami banjir Disember tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 15,000 kilogram telah dihantar ke Johor manakala 10,000 kilogram lagi telah dihantar ke Selangor untuk dilupuskan dan kita berterima kasih dengan kesudian Terengganu untuk membantu melupuskan 20,000 kilogram pada kali ini.

“Baki yang masih ada di Kelantan pula sedang diuruskan iaitu diasingkan dan dikeringkan sebelum proses pelupusan seterusnya dilakukan,” katanya.


Sumber : teganukita.my

Last modified on Thursday, 08 February 2018 15:16
Rate this item
(0 votes)

Bilangan Pengunjung

Hari ini 873

Hari sebelum 1364

Minggu ini 4538

Bulan ini 30190

Jumlah 587733

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Cloud Tag

Vote

What Is Your Opinion on MAIDAM's Official Website?