Majlis telah berlangsung pada 7 Oktober 2013 bertempat di Pusat Konvensyen , Taman Tamadun Islam. Majlis yang merupakan tradisi keilmuan bagi Sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Mohd Rozali bin Saleh merangkap selaku Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.
Majlis ini adalah ‘simbolik’ untuk meraikan kejayaan pelajar bagi menghadapi peperiksaan akhir sama ada pada peringkat STAM, STPM serta SPM. Seramai empat orang pelajar telah mendapat Anugerah Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu yang terbahagi kepada empat kategori iaitu terbaik STAM, terbaik Thanawi, peringkat STPM serta peringkat SPM. Penerima anugerah tersebut bagi kategori terbaik STAM ialah Nur Fitriyyah binti Che Harun. Bagi kategori Terbaik Thanawi pula ialah Nursyazwanie binti Mohd Zawawi. Manakala untuk kategori Peringkat STPM pula ialah Amirah Nasuha binti Mamat dan kategori peringkat SPM adalah Alif Amirul Ikhwan bin Hussin.
Anugerah Khas untuk para penghafaz Quran terbahagi kepada empat peringkat. Bagi peringkat menengah rendah lelaki, seramai 5 orang pelajar telah dipilih. Peringkat menengah rendah perempuan seramai 3 orang telah memperoleh anugerah ini. Seramai 3 orang pelajar lelaki, manakala 10 orang pelajar perempuan berjaya memperoleh anugerah ini bagi peringkat menengah atas.
Anugerah Ketua Penolong Pengarah Pendidikan terbahagi kepada 10 kategori iaitu terbaik aliran sains SPM, terbaik aliran sastera SPM, terbaik subjek STAM, terbaik subjek Thanawi, terbaik subjek STPM, terbaik subjek SPM, peringkat STAM, peringkat Thanawi, peringkat STPM dan peringkat SPM. Turut tersenarai dalam anugerah ini adalah penerima bagi peringkat STAM, Thanawi, STPM serta SPM. Seramai 8 orang penerima bagi peringkat STAM, 13 untuk peringkat Thanawi dan 47 untuk peringkat STPM. Peringkat SPM mencatat seramai 217 orang pelajar. Diharap para pelajar semakin bersemangat dalam menempuh cabaran sebagai seorang insan yang dahagakan ilmu.