dato osman mudaYBhg. Dato' Haji Osman bin Muda, Yang Dipertua MAIDAM.

Kira-kira RM17 juta dibelanjakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sejak penularan Covid-19 melanda negeri ini.

Perbelanjaan itu termasuk membuat pembayaran awal bantuan bulanan dan sara hidup kepada golongan asnaf sebagai langkah pencegahan wabak berkenaan.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda berkata, sebanyak RM3.5 juta dikeluarkan untuk pembayaran awal bantuan kewangan bulanan dan sara hidup kepada 4,034 golongan asnaf di negeri ini.

Beliau berkata, bayaran awal bantuan itu dimasukkan terus ke akaun asnaf pertengahan bulan ini sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

“MAIDAM akan mengeluarkan sebanyak RM11 juta untuk pembayaran bantuan zakat kepada kira-kira 23,000 asnaf fakir dan miskin minggu depan.

“MAIDAM bukan saja menggunakan wang zakat untuk membantu golongan asnaf, sebaliknya turut membantu Jabatan Kesihatan negeri membeli peralatan perubatan, selain bantuan makan dan minum petugas di barisan hadapan serta ahli keluarga mereka.

“Kami turut mengeluarkan bantuan sekali bayaran kepada 38 ahli keluarga pesakit disyaki dijangkiti wabak Covid-19, yang kini sedang dirawat di hospital, selain membantu penuntut negeri ini yang sedang mengikuti pengajian di universiti di Mesir dan Jordan, ” katanya.

Ketika mengulas mengenai permohonan baharu, Osman berkata, masyarakat boleh mengemukakan permohonan bantuan zakat melalui atas talian.

Bagaimanapun, katanya, semua permohonan perlu melalui proses penyiasatan sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Bagi mengatasi masalah pertindihan bantuan dan berlaku adil kepada masyarakat, kaedah dilakukan kerajaan negeri amat bertepatan apabila pelbagai agensi diarahkan menguruskan bantuan.

“Sebagai contoh, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diarahkan menguruskan bantuan kepada penduduk miskin di bawah seliaannya, manakala MAIDAM menguruskan bantuan kepada golongan asnaf.

“Kerajaan negeri pula menguruskan bantuan kepada rakyat yang namanya tidak senarai sebagai penerima bantuan daripada MAIDAM dan JKM,” katanya.


Sumber : www.hmetro.com.my

Bilangan Pengunjung

Hari ini 1353

Hari sebelum 1581

Minggu ini 4360

Bulan ini 147209

Jumlah 869324

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Cloud Tag