metro1

Agihan bantuan awal kepada 23,000 fakir dan miskin di negeri ini akan dibuat minggu pertama bulan depan sebagai persiapan menyambut Ramadan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, pengagihan itu dilakukan lebih awal sebagai mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Katanya, sebanyak RM11 juta diperuntukkan MAIDAM untuk diagihkan kepada fakir dan miskin di seluruh negeri.

“Bantuan itu sepatutnya diagihkan pada minggu pertama Ramadan yang dijangka pada 24 April depan.

“Tetapi kita memutuskan membuat bayaran awal bagi meringankan beban golongan itu yang terpaksa mematuhi perintah PKP,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Osman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan pusat pungutan zakat setiap negeri memainkan peranan lebih proaktif membantu golongan asnaf yang berdepan kehidupan lebih sukar sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP.

Beliau berkata, setiap fakir dan miskin akan menerima bantuan antara RM400 dan RM600, bergantung kepada jumlah tanggungan.

Mengulas lanjut, Osman berkata, MAIDAM sudah membuat tindakan awal dengan membayar bantuan kewangan bulanan kepada 2,356 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM834,800 dan bantuan sara hidup kepada 1,678 penerima membabitkan jumlah sebanyak RM2.6 juta Rabu lalu.

Katanya, ahli lembaga MAIDAM bersetuju menyegerakan pembayaran bantuan itu bagi membolehkan golongan asnaf membeli barang keperluan asas berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Sumber:  www.hmetro.com.my

Bilangan Pengunjung

Hari ini 1424

Hari sebelum 1581

Minggu ini 4431

Bulan ini 147280

Jumlah 869395

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Cloud Tag